Ramai orang bercakap tentang
keburukan couple. Ramai orang menegur tentang kejelekan bercinta sebelum
kahwin. Tetapi mungkin tidak ramai yang membuka jalan kepada sejumlah besar
anak muda yang tersepit. Antara mahu meneruskan cinta, atau mengorbankan cinta
yang sekian lama dibina.
Bercinta itu soal hati. Jadi
jangan dipandang remeh dan jangan diambil mudah.
Jadi kali ini, mari kita lihat
beberapa persoalan sekitar isu ‘nak clash ke tidak’ ini.
BERPASANGAN
ITU SERONOK
Mana ada manusia suka hidup
sendiri-sendiri. Sampai masa dan ketika, dia tentu mahukan teman di jiwa. Mahu
seseorang sebagai peneman ke mana-mana. Dan orang itu mestilah menepati
citarasanya. Mesti molek rupa paras dan mesti elok budi pekerti. Bila bertemu
orang itu, dia sudah tidak mahukan selain daripadanya. Dia akan bermadah
pujangga bahawa itulah jantung dan jiwanya. Seperti biasa, tabiat orang
bercinta.
Berpasangan itu memang seronok
dan bahagia.
Tetapi bukan semua jenis
berpasangan itu seronok lagi bahagia. Sudah tentu, bila kita bercakap soal
seronok dan bahagia ini, kita maksudkan seronok dan bahagia sampai ke Syurga.
Apa barang seronok dan bahagia sekadar di dunia. Kalau setakat itu, ternyata
belum benar-benar hebat cintanya. Berpasangan yang paling power sekali adalah
berpasangan yang tidak terpisah dek kematian. Tidak terjurang dek alam dunia
dan alam akhirat. Ikatan antara dia dan pasangan mampu menembusi dinding dunia
sehingga sampai ke Syurga.
Hebat bukan?
Dan Islam sebagai suatu agama
yang hebat telah sekian lama mengajarkan cara bagaimana untuk berpasangan gaya
hebat seperti itu. Semestinya, dengan membeli tiket merah jambu bernama
An-Nikah. Tiket tersebut direka khas untuk berpasangan sehingga ke Syurga. Di
dunia seronok, di akhirat bahagia. Memang gempak.
Namun di sana, ada satu lagi
bentuk berpasangan yang seronok tetapi bahagianya tidak kekal lama. Semuanya
kerana satu sebab, iaitu enggan mendapatkan tiket merah jambu yang comel
bernama An-Nikah. Sungguh merugilah mereka. Kerana seronok dan bahagia mereka
hanya terhenti sekadar di dunia. Paling lama, 100 tahun sahaja usia berpasangan
mereka. Itu pun sudah semakin memudar dek kerana kedut dan kerut kian banyak
menghias muka. Itu pun jika panjang umur dan usianya.
Kalau takdir Allah, dilanggar
kereta atau terjatuh dalam telaga buta, maka sekadar itu sahajalah usia
berpasangan yang mereka ada. Seronok memang seronok, tetapi langkah sahaja ke
alam barzakh, deritanya tak terungkap dengan kata-kata. Masakan tidak, banyak
tempahan azab yang telah dibuat sewaktu berpasangan ( baca : bercouple ) di
dunia. Contohnya, berpegangan tangan. Sedangkan dalam hadith, Nabi s.a.w
menyebut bahawa lebih ringan azabnya memegang bara api daripada menyentuh kulit
mereka yang bukan mahram.
Jadi, di titik ini, rasanya
kita sudah boleh faham dengan jelas bahawa berpasangan yang hebat lagi power
itu, hanya khusus kepada pemegang tiket yang comel sahaja. Selain daripada itu,
belum boleh diakui sebagai hebat lagi gempak.
BUKAN
MUDAH NAK CLASH
Sebenarnya, ramai di kalangan
kita yang menyedari hakikat sepertimana disebutkan di atas. Bahkan mereka pun
sebenarnya tidak mahu terus-terusan berpasangan gaya buang masa seperti itu.
Mereka juga mahu bernikah. Tetapi sungguh, jalan untuk menikah dirasa sangat
payah. Sebab itu, jalan mudahnya adalah bercouple sahaja. Pun begitu, jauh di
sudut hati, apa yang sangat diimpikan adalah pernikahan.
Ok, topik ini pun sebenarnya
bukan mahu memberi keputusan kepada anda, samada perlu atau tidak anda clash
dengan pakwe ataupun makwe anda. Saya sendiri tidak suka membuat keputusan
untuk orang lain. Antara sebab utamanya adalah, saya sangat percaya bahawa ada
sebabnya Allah kurniakan akal kepada setiap seorang daripada kita. Allah tidak
kurniakan akal kepada seseorang sebagai wakil kepada sepuluh orang yang lain.
Contohnya, Allah berikan akal kepada Tok Penghulu kampung tetapi tidak
memberikan akal kepada penduduk kampung yang lain. Tidak. Allah berikan kepada
setiap seorang daripada kita. Maka, gunakanlah ia sebaik mungkin. Dan saya
sekarang, sedang berinteraksi dengan akal-akal tersebut.
Ada orang, bercouple sebab
memang dia mahu bercouple. Dari kecil, impiannya hanyalah bercouple. Tidak
pernah terniat mahu berkahwin. Ini sungguh aneh bukan.
Ada orang, bercouple sebab
tidak mampu menahan rasa di dada. Zaman remaja, terutamanya. Walaupun ada juga
berlaku di kalangan orang tua.
Ada orang, tersepit. Di awalnya
dia tidak tahu bahawa itu namanya bercouple. Setelah lama menjalin hubungan,
barulah dia tahu bahawa itu salah dan berdosa.
Dan, macam-macam lagi keadaan
yang lain.
Apa yang penting, kebenaran
telah lama bersuara. Sebagaimana disebut di awal artikel, bercouple yang sahih
lagi power adalah bercouple dengan tiket akad nikah. Selain daripada itu, ia
tidak diterima.
Jadi, step pertama, sila terima
dahulu kebenaran tersebut. Ingat, ada beza antara orang yang mengingkari
kewajipan solat dengan orang yang tidak menunaikan solat. Orang yang ingkar
bahawa solat itu wajib, hukumnya kafir. Tetapi orang yang tidak menunaikan
solat, tidak menjadi kafir. Serupa juga. Kena terima dahulu kebenaran bahawa
berpasangan tanpa tiket nikah itu haram, apatah lagi jika bersentuh-sentuhan,
membelai-belaian dan sebagainya. Jangan pula kita membantah bahawa kesemua
perbuatan itu bukan maksiat. Soal kita lakukan atau tidak, itu kita masuk bab
kedua.
Ok, step kedua, selepas
menerima kebenaran dan mengakui bahawa perbuatan-perbuatan itu adalah haram
lagi berdosa, maka tiliklah pula kepada situasi masing-masing. Hakikatnya,
situasi tidak akan sama. Contoh, antara dua orang yang bercouple, situasi orang
pertama tidak akan sama dengan situasi orang kedua. Maksud saya, dari segi
pertimbangan yang perlu diambil.
Saya mungkin tidak mampu
membincangkan kesemua situasi dan keadaan, namun mungkin saya boleh sebutkan
beberapa contoh sebagai panduan.
Situasi
A :
Dua orang bercinta. Masuk tahun
ini, sudah lima tahun bercouple. Tahun pertama dan kedua, 80% perhubungan di
alam maya. Start tahun ketiga, bertukar 80% di alam nyata. Masuk panggung
keluar panggung. Naik kereta turun kereta. Dari timur ke barat. Dari atas
bangunan sampai ke tepi longkang. Lebih dahsyat dari belangkas. Sudah tentu,
maksiat yang dilakukan sudah tidak terkira banyaknya. Masuk tahun kelima, salah
seorang mula rasa insaf dan mendesak perkahwinan. Seorang lagi, berdolak dalih
dan berlagak macam lembu kenyang. Seronok melayan maksiat, malas mengambil
tanggungjawab.
Situasi
B :
Dua orang bercinta. Masih baru,
beberapa bulan yang lalu. Seorang belajar di Timur, seorang belajar di Barat.
Keluarga belum tahu menahu, kerana keduanya berkenalan melalui ‘mukabuku’.
Asyik berchatting saban waktu. Adakala berbual di telefon. Tetapi tidak pernah
berjumpa, dating, pegang tangan dan sebagainya.
Situasi
C :
Dua orang saling menyimpan
perasaan. Tetapi masih belajar. Akhirnya saling meluah perasaan. Kemudian
dipanjangkan kepada keluarga. Kedua keluarga menerima seadanya, tetapi syarat
berkahwin mesti tamat pengajiannya. Jadi keduanya meneruskan pengajian. Si
lelaki terlibat aktif dengan kesukanan. Si perempuan terlibat aktif dengan
persatuan. Keduanya tegas menjaga perhubungan. Tiada mesej-mesej, tiada
calling-calling. Semuanya dalam emel, yang mana sekali emel disebutkan kesemua
item dan perkara. Tiba-tiba si perempuan merasa bersalah. Rasa berdosa dengan
perhubungan mereka. Rasa seperti bercouple, buat maksiat hati dan sebagainya.
Kesemua keadaan di atas, dari A
hingga C, jalan keluar serta pertimbangannya tidak sama.
Secara ringkasnya, situasi A
adalah tahap wajib keluar dari maksiat, samada clash ataupun bernikah. Jadi
saya sarankan, gandakan usaha supaya segera bernikah dan jangan tergesa-gesa
memutuskan hubungan. Setelah usaha itu gagal dan menemui jalan mati, barulah
dipancung perhubungan tersebut.
Situasi B, perlu dikawal
perhubungan, diminimakan dan disampaikan ke pengetahuan keluarga seberapa
segera. Mungkin, cara terbaik adalah bertunang dan mengurangkan berhubung
antara satu sama lain. Tutup semua pintu yang berpotensi dimasuki oleh Syaitan
dalam perhubungan antara keduanya. Manakala situasi C, mereka sebenarnya dalam
kategori ”hanya ada hubungan tetapi tidak berhubungan”. Maksudnya, hubungan
diketahui keluarga, dikawal oleh keluarga tetapi keduanya selamat dari elemen
maksiat. Teruskan seperti sediakala dengan kehidupan masing-masing dan
sebaiknya pihak keluarga menyegerakan proses pertunangan atau pernikahan keduanya.
Tidak perlu tertekan dan mahu clash. Untuk apa diputuskan sebuah perhubungan
yang ada harapan besar ke arah pernikahan?
ALLAH
PEMBERI KEKUATAN
Ini khusus untuk mereka yang
terjebak dalam maksiat ketika bercouple.
Tidak dinafikan, sewaktu anda
mahu berubah meninggalkan orang yang anda cinta – setelah usaha memujuknya ke
arah pernikahan tidak berjaya – maka anda akan diuji dengan pelbagai dugaan,
khususnya melibatkan hati. Ada keraguan yang akan bertandang. Ada banyak
kenangan manis yang akan melemahkan. Tetapi pada saya, kekuatan sebenar untuk
anda berubah tika itu hanyalah niat yang benar lagi sahih. Untuk apa anda
clash? Untuk apa anda tinggalkan kekasih hati tersebut?
Jika jawapannya kerana anda
sudah tidak sanggup berada dalam kegelapan maksiat, atau kerana anda mahu
melazimi ketaatan kepada Allah, atau kerana anda tidak nampak jalan menuju
pernikahan dengan pasangan sekarang, atau kerana anda mahu berlari menuju
Allah, maka yakinlah, bahawa hanya Allah sebaik-baik Pemberi Kekuatan. Dan
anda, sesungguhnya sedang berada di atas track yang betul.
Sabda Nabi s.a.w : ” Orang yang
berhijrah itu, adalah orang yang berhijrah meninggalkan apa yang Allah larang “
Begitu
juga, jangan anda bina dua sangkar di depan mata anda. Satu sangkar bernama
‘baik’ dan satu lagi sangkar bernama ‘jahat’. Dan anda masuk mengunci diri
dalam sangkar bernama ‘jahat’ tersebut. Dari situ, anda hanya memandang sayu
kepada sangkar bernama ‘baik’ dan berkata : ” aku tak layak masuk ke situ..aku tak
layak..aku hina..aku teruk..” dan
sebagainya.
Anda tidak perlu berperlakuan
sedemikian. Jika anda berminda sedemikian kerana acapkali gagal berubah atau
terasa tidak mampu meninggalkan couple, maka anda silap. Apa yang penting
adalah samada anda berusaha meninggalkan kegelapan jahiliah itu ataupun tidak.
Usaha, atau tidak? Jika jawabnya, ya, saya usaha, maka janganlah bersedih. Itu
bermakna, anda sedang menuju ke gerbang kebaikan dengan penuh bergaya. Anda
cuma perlu teruskan langkah dan gandakan usaha, supaya anda segera sampai ke
gerbang kejayaan yang sebenarnya.
Jangan samakan diri anda dengan
orang-orang lain. Ya mungkin, ada di kalangan kawan anda yang begitu cepat
boleh berubah. Hari ini baca artikel tentang haramnya couple, esok terus clash.
Mungkin ada. Tetapi mungkin, anda tidak seperti dia. Jangan paksa perubahan
dalam diri anda secara agresif. Berikan jiwa anda masa untuk mengorak
langkahnya. Yang penting, anda mulakan. Tetapi jangan cepat mahu melompat
kepada kesimpulan. Mulakan perlahan-lahan. Daripada dating seminggu sekali, jadikan
ia dua minggu sekali. Dari bergayut tiap-tiap malam, jadikan ia seminggu satu
malam. Daripada keluar pegang-pegang tangan, kepada keluar dan pakai sarung
tangan. Percayalah, anda mampu lakukan perubahan.
No comments:
Post a Comment